KOTA BHARU: Calon wanita UMNO yang dipilih bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti akan dipastikan memenuhi kelayakan dan kriteria yang ditentukan pucuk pimpinan parti.
Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO Kelantan, Zarina Md Eusope, berkata pemilihan calon wanita baik dari sayap Wanita atau Puteri UMNO dalam mana-mana PRU menunjukkan pengiktirafan parti terhadap kebolehan dan kewibawaan mereka.
"Kita kena beri sokongan padu kepada sesiapa sahaja calon wanita yang dipilih baik dari Pergerakan Wanita atau Puteri UMNO serta parti komponen BN bagi menjamin kemenangan dalam PRU-14 di negeri ini.
"Pucuk pimpinan parti peringkat pusat dan negeri membuat pertimbangan yang menyeluruh dalam menentukan pemilihan calon bersesuaian lagi berwibawa termasuk wanita untuk mewakili BN pada PRU-14 nanti," katanya di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, berkata pada PRU-13, dua calon Wanita UMNO dipilih bertanding di Kelantan termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan menerusi Nik Noriza Nik Salleh, menghadapi calon PAS yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Katanya, walaupun calon Wanita UMNO tidak mencapai kemenangan di kerusi DUN yang ditandingi, ia sudah cukup memberi isyarat bahawa mereka tidak boleh dipandang rendah terutama bagi bertanding dengan calon lelaki dari parti lawan.
"Saya lihat kesungguhan yang tinggi ditunjukkan jentera Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO dalam membantu calon mereka atau calon lelaki yang dipilih bertanding mewakili BN di kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini.
"Saya percaya rakyat Kelantan akan memberi sokongan kepada UMNO dan BN yang dilihat begitu gigih berjuang dalam usaha membela nasib mereka secara konsisten," katanya.
sumber : bharian