KUCHING : Pucuk pimpinan serta ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan parti serpihannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP) perlu kembali bergabung serta membantu membangunkan negeri.
Bekas Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata, kedua-dua parti itu harus melupakan persengketaan lalu dan memberi tumpuan kepada usaha untuk memastikan masa depan yang lebih baik.
Beliau berkata, sebagai bekas peneraju parti politik tertua Sarawak itu, beliau amat mengharapkan dua parti itu bergabung semula terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Secara peribadi, saya memang sudah lama mahu melihat pemimpin kedua-dua parti berbaik semula dan tidak lagi mengungkit perbezaan pendapat dahulu.
"Kita harus memikirkan masa depan dan memastikan kekukuhan parti untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan dasar demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP, hari ini.
Dr Chan adalah Presiden SUPP keempat menerajui parti yang ditubuhkan pada 1959 itu iaitu mulai 1997 hingga 2011.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini turut menggesa kedua-dua parti memikirkan penyelesaian masalah mereka dan memberi tumpuan pada PRU-14.
Sementara itu, Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian, berkata parti itu bersedia menerima bekas ahli partinya untuk kembali menyertai mereka.
"Ramai ahli UPP, termasuk beberapa wakil rakyat adalah bekas ahli SUPP dan saya mempelawa mereka untuk kembali menyertai SUPP sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN)," katanya.
sumber : bharian