KULIM: Perjalanan pulang empat sekeluarga dari menziarahi kematian anggota keluarga mereka di Seberang Perai, Pulau Pinang bertukar menjadi tragedi selepas kereta PROTON Satria yang mereka naiki bertembung dengan lori membawa sawit di Kampung Padang Terap 12, di sini, hari ini.
Tragedi itu mengakibatkan Azli Adzali, 46 yang juga pemandu kereta, dan isterinya, Hasimah Saari, 32 bersama-sama bayi perempuan mereka, Nuranis Umairah, 16 bulan maut di tempat kejadian, manakala Saari Man, 71, iaitu bapa Hasimah, cedera.
Ishak Saari, 34 abang kepada allahyarham Hasimah, berkata dia terus bergebas ke Bilik Forensik Hospital Kulim selepas menerima mesej bergambar PROTON Satria yang dipinjamkan kepada adik iparnya terbabit dalam kemalangan.
"Saya berasa pelik apabila tiba-tiba menerima banyak pesanan dalam Whatsapps dari rakan-rakan bertanyakan keadaan saya," katanya.
Ishak berkata, Azli datang ke rumahnya di Kulim, kira-kira jam 9 pagi untuk meminjam kereta kerana ingin menziarahi kematian ahli keluarganya di Seberang Perai.
"Saya tidak sempat berbual dengan arwah kerana ada kerja, hanya memberi kunci kereta kepada Azli yang terus pulang ke rumahnya untuk menjemput isterinya dan bapa saya.
"Saya difahamkan Azli membawa mereka pulang ke kampungnya di Seberang Perai untuk menziarah ahli keluarganya yang meninggal dunia hari ini," katanya.
Ishak berkata arwah Azli bekerja sebagai pemandu lori, manakala isterinya tidak bekerja dan tinggal bersama kedua ibu bapa mereka di Keda Sungai Salleh.
"Saya tidak sangka dalam sekelip mata saya kehilangan adik perempuan serta suamidan anak mereka. Jenazah mereka di kebumikan di tanah perkuburan Masjid Keda Sungai Salleh," katanya.
Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mokhtar dalam satu kenyataan memaklumkan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu, kira-kira jam 12.18 tengahari.
"Apabila anggota kami tiba di tempat kejadian, mendapati semua mangsa berada di dalam kenderaan, manakala penumpang hadapan dan pemandu tersepit.
"Seorang lelaki yang duduk di kerusi penumpang hadapan parah, manakala pemandunya dan dua penumpang belakang, iaitu seorang wanita dan bayi perempuan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Semua mangsa yang terbunuh diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Kulim," katanya dalam kenyataan media.
Sementara itu, Ketua Polis Kulim, Superintendan Ahmad Nasir berkata, hasil siasatan awal mendapati lori membawa sawit terbabit datang dari arah Serdang, manakala kereta PROTON Satria Neo dalam perjalanan dari arah Kulim menghala ke Serdang.
sumber : bharian