Real lagi mewah berbanding PSG

MADRID: Paris Saint-Germain (PSG) memecahkan rekod yuran perpindahan tahun lalu apabila menandatangani Neymar dari Barcelona, tetapi kelab Perancis yang dimiliki jutawan Qatar itu masih belum dapat menandingi kekuatan kewangan Real Madrid.













Real selaku juara bertahan Eropah mendapat pulangan hampir 200 juta euro (RM967 juta) melebihi PSG tahun lalu, menurut Deloitte.
Gergasi Sepanyol itu akan melayan kunjungan skuad kendalian Unai Emery pada perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis waktu Malaysia.
Dalam dunia bola sepak, Real unggul dengan muncul juara Eropah sebanyak 12 kali, tetapi akhir-akhir ini turut menguasai aspek kewangan kelab-kelab Eropah.
Kekayaan Real dicetus oleh strategi perpindahan presidennya, Florentino Perez yang akan membayar apa saja untuk mendapatkan bintang terhebat dunia.
"Jika Real mempunyai pemain terbaik dunia di setiap posisi, pulangan tidak akan menjadi masalah," kata Perez kepada AFP pada tahun 2016.
Real memecahkan rekod yuran perpindahan sebanyak lima kali antara tahun 2000 hingga 2013 menerusi pembelian Luis Figo, Zinedine Zidane, Kaka, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale.
Satu lagi aset penting kelab ialah stadium Santiago Bernabeu, di mana Perez mahu menambah bumbung, kawasan menyambut tetamu yang baharu, pusat membeli belah, malah sebuah hotel - yang dianggarkan menelan belanja 400 juta euro (RM1.9 bilion).
Bagaimanapun PSG berpeluang mengatasi kehebatan kewangan Real itu menerusi kemenangan di atas padang sekali gus memburu tempat ke final buat pertama kali.

sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==